Pengertian solat jemaah
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya
selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai
bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang
dikerjakan, iaitu:
- Fardhu ain pada solat Jumaat;
- Fardhu kifayah pada solat fardhu lima waktu; dan
- Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan
berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan
matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan
Ramadhan.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu
Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam
an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi
orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian
menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat
jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid
atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang
tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat
jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang
diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,
Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah
orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi
s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke
masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya
untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya,
tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda
mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang
dikumandangkan di masjid.
Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat
bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27
darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung
menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan
sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak
fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke
masjid dan semasa dia berada dalam masjid.
Selepas ini insya-Allah akan diterangkan fadhilat-fadhilat tersebut
untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar cintakan solat berjemaah.
Wallahu a’lam. |
|
|
No comments:
Post a Comment